Sendiri aku pada malam ini bertemankan desiran bayu malam yang longlai sekali. Entah kenapa, tiba-tiba terdetik dalam hati ini tentang dia di sana. Apakah dia masih mengingatiku seperti janjinya? Entahlah.
Detik yang berlalu kini sudah tidak terhitung lagi. Entah mengapa, aku jadi
makin kurang peduli akan ketiadaannya. Mungkin kerana kesibukan kerja dan pelbagai insiden-insiden yang selalu terjadi kebelakangan ini membuatkan aku semakin jauh dari rasa itu. Rasanya aku sudah makin terbiasa dengan ketiadaannya hinggakan aku jarang merasakan sepi seperti dulu. Cuma sesekali, rindu itu bertandang juga dan sepertinya aku tidak kuasa untuk mengelak daripada merasainya.
Matang, mungkin itu yang paling sesuai untuk membayangkan situasi aku sekarang. Aku dapat merasakan bahawa aku semakin positif dalam banyak hal termasuklah pemergiannya kali ini. Kalau dulu aku sering merasakan bahawa kepergiannya itu merupakan pengakhiran segala-galanya, kini sebaliknya. Aku merasakan ianya adalah sebagai sebuah permulaan yang baru. Aku sudah kurang meletakkan harapan yang menggunung terhadapnya kerana aku sendiri tahu bahawa antara aku dan dia tiada sebarang ikatan yang kukuh, apalagi yang menjanjikan sebuah akhir yang bahagia.
Perhubungan itu, sebuah perhubungan tanpa nama, tanpa janji.
**********************************************************************
Rindu malam ini,
menghadirkan sosok dia kembali,
mencuit hati yang kian dewasa,
merobek pintu sepi,
akukah yang lemah,
atau rindu itu yang terlalu kuat,
hinggakan aku kembali terperangah,
melayan gelora jiwa lama,
oh bayu malam,
apakah kau mau menyampaikan rindu ini,
kepada dia yang jauh di sana,
walau sekedar lewat hembusan lembut di pipinya?
oh bulan,
maukah engkau menjadi saksi,
akan pedihnya hati ini,
saat dia jauh di sana,
lenyap tanpa sebarang kata…
NN, 2011